Followers

Showing posts with label wahm. Show all posts
Showing posts with label wahm. Show all posts

Friday, May 22, 2015

CUCI RUMAH SAMBIL BEKERJA

JUMAAT - 22.05.15

Esok - sabtu 23.05.15 malam  ,rumah saya akan digunakan untuk perjumpaan penduduk selorong sambil berparty BBQ . Saya mengambil keputusan untuk bersihkan dan sediakan rumah hari ni . Esok boleh tumpukan untuk persediaan lain.

Semenjak berpindah ke tempat baru ni , kami belum berkesempatan buat House Warming . Pada saya , kami tidak berapa perlukan house warming sebab sentiasa welcome sesiapa saya yang mahu berkunjung dan Alhamdulillah , rumah kami tidak pernah sunyi saban minggu . Namun , tetap ada niat untuk buat kenduri yang boleh mengumpulkan saudara , sahabat handai ,jiran dan kenalan serentak . Moga diberikan kesempatan dan rezeki olehNya . 

Minggu ini melalui group whatapp , jiran selorong menyatakan tentang rancangan majlis BBQ.Atas beberapa alasan , rumah kami telah dipilih untuk menjadi tempat berlansungnya majlis . Kami sangat berbesar hati . Moga majlis esok berjalan lancar dan mendapat keberkatan demi mengeratkan silaturahim antara kami yang berjiran ini. 

Namun..... janji menghantar sebutharga kepada beberapa syarikat tetap perlu ditunaikan .  Email order berbayar dari para admin MPS perlu diproses dan dilanjutkan ke bahagian packing & delivery . Amanah tetap amanah yang wajib dilunaskan . 

Tiba-tiba saya mendapat idea lagi bagaimana job delegation ini boleh diperkemaskan lagi dan memberi saya lebih kebebasan . Alhamdulillah , semuanya ilham yang dicetuskan olehNya . 

Kyomo, gambarimashou!!




Wednesday, May 13, 2015

KE MANA AKAN SAYA BAWA MARYNA PACKAGING SUPPLY ?

Ke mana akan saya bawa Maryna ?

Menjadikannya pengilang ?
menjadikannya pembekal?
menjadikannya pusat pemborong ?
menjadikannya peruncit ?


Kebanyakan usahawan membuat keputusan berdasarkan potensi perniagaan , penerimaan pasaran , untung rugi pelaburan dan lain-lain yang bersifat material .

Saya sangat berbeza bila membuat keputusan perniagaan . Yang pastinya akan dikecam jika saya mempunyai pemegang saham lain . Saya membuat keputusan perniagaan berdasarkan kapasiti saya sebagai seorang isteri , ibu , anak sulung , menantu dan faktor umur saya . Kemudian diikuti dengan kesesuaian masa dari faktor-faktor tadi untuk membolehkan saya menguruskan perniagaan dengan mudah .

Saya tidak dapat mengikuti nasihat kebanyakan "sifu" perniagaan yang terkenal di dunia internet terutamanya di FB kerana kebanyakannya tidak sesuai dengan "priority" saya . Saya tetap seorang isteri dan ibu yang menguruskan keluarga saya tanpa pembantu rumah setakat ini . Saya masih menghantar anak-anak ke sekolah . Saya masih melakukan segala rutin rumahtangga seperti biasa ..ada yang sangka , saya tidak lagi mencuci tandas..he he.. kalau dah rutin rumahtangga , dapat elak ke ? . Saya masih menjenguk ibubapa , mertua dan keluarga sekerap mungkin dan sentiasa menerima kunjungan tetamu saban minggu ke rumah saya dan keluar dengan keluarga menonton , makan-makan , hadir kenduri dan sebagainya . Secara dasarnya , masa saya sudah terlalu penuh dengan rutin-rutin biasa ini dan saya mahu ia terus kekal begitu  .  Oleh itu , saya mengatur perniagaan dengan sangat berhati-hati supaya berkembang dengan baik tetapi tidak memberi kesan sampingan yang negatif kepada keluarga saya . Komitmen saya sentiasa berpada-pada . Saya tidak boleh mewujudkan sebarang kerugian sepanjang operasi dan Alhamdulillah sehingga ke hari ini , Allah masih memakbulkan posisi tersebut. 

Saya mahu menjadikan Maryna sebuah perniagaan yang kukuh , sebaris dengan syarikat korporat yang lain . Cita-cita saya tidak sampai untuk menyenaraikannya di bursa saham tetapi cukuplah ia menjadi syarikat yang kukuh , yang boleh memberi manfaat kepada sekeliling . Menyediakan persekitaran dan kehidupan selesa untuk warga Maryna dan mereka2 yang terlibat secara lansung . Saya sedih melihat kehidupan sukar mereka-mereka yang rapat disekeliling saya . Saya berharap ada satu medium yang kukuh untuk memudahkan mereka meleraikan kekusutan yang dialami hari-hari .Ini yang saya harap mampu dilakukan Maryna nanti .   Ye , saya menguruskan Maryna secara sambilan tetapi saya tidak lagi membiarkan Maryna menjadi perniagaan sambilan surirumah biasa  . Saya membawa Maryna berkembang untuk menjadi syarikat yang serius dan dicari oleh pasarannya . Setiap hari saya merancang sesuatu untuk meneruskan langkah Maryna setapak demi setapak . 

Usia saya semakin meningkat . Hasrat saya untuk akhirat perlu seiring . Saya tidak boleh menjadikan Maryna menyibukkan saya dengan aktiviti dunia saja . Maryna perlu mula pandai berkembang sendiri dan melepaskan penggantungan kepada saya sedikit demi sedikit .

Satu langkah lagi , akan siap http://www.marynapackaging.com.my 
Terlalu awal untuk bercerita tentang ini . Harapan saya ia bakal menjadi platform e-commerce utama untuk packaging material suatu hari nanti . 



Saya dan tulang belakang Maryna di awal rombakan strategi ..mereka masih kekal bersama kami hingga hari ini ..Alhamdulillah.




Monday, May 11, 2015

SURI BEKERJA SENDIRI - MENGHADAPI RUTIN YANG BERUBAH SECARA TIBA-TIBA

11.05.2015,Isnin

Hari ini zikry selsema . Saya cutikan dia dari ke sekolah . Dia kuat saja tapi bimbang sebarkan virus selsema pada kawan-kawan lain pula.

Fikiran sesak memikirkan beberapa sebutharga yang perlu diemail pagi ini .Selain beberapa dokumen penghantaran yang perlu disiapkan sebelum diserahkan kepada pembantu untuk menyelesaikan kerja-kerja seterusnya . Jadi , saya atur segalanya seberapa kemas.

Beginilah rutin jika bekerja sendiri . Kita tiada pengasuh atau pembantu rumah untuk membantu menguruskan hal anak-anak sementara kita siapkan kerja kita . Yang perlu dilakukan adalah , uruskan masa sebaiknya dan sentiasa fleksible kerana rutin akan berubah bila-bila masa. Anak-anak yang berubah waktu kelas tambahan , waktu kokurikulum , waktu berjanji menyiapkan tugasan sekolah dengan kawan-kawan , anak-anak sakit , buku sekolah yang penting tertinggal dan perlu dihantar segera dan pelbagai sebab lagi yang menyebabkan kita perlu mengatur semula masa secara tiba-tiba . 

Cara saya ialah , bagaimana ada tugasan penting pun , saya aturkan masa mengikut keperluan masa anak-anak . Jika ada temujanji yang telah dibuat dengan pelanggan , lihat jika kita masih boleh selitkan untuk selesaikan keperluan anak-anak yang muncul tiba-tiba terlebih dahulu. Dengan cara ini , minda kita lebih tenang dan dapat menyelesaikan tugasan sendiri dengan lebih teratur kerana perkara yang paling penting telah kita selesaikan . 

Hari ini saya mengambil keputusan bekerja dari rumah sambil melihat zikry menyiapkan kerja sekolah yang masih berbaki , sambil saya menyiapkan segala dokumen penting yang perlu diselesaikan pagi ini . Sekejap lagi saya perlu email segala dokumen ini.

Kain baju , pinggan mangkuk dan halaman telah diuruskan sebelum sarapan tadi . 

Jika ada yang nak berhenti kerja kerana penat di ofis dan berharapan dengan bekerja sendiri boleh berleka-leka sesuka hati  ,  adalah tindakan yang kurang tepat . Jika anda mahu berhenti kerja makan gaji kerana mahu menumpukan sepenuh masa menguruskan rumah tangga  ataupun mahu menguruskan bisnes sendiri sambil menguruskan rumahtangga mengikut masa anda , anda akan mencapainya dengan sedikit pengorbanan masa dan komitmen . 

Ok lah , itu saja untuk hari ini . Klinik , kedai gunting rambut , supplier termasuk dalam agenda pagi ini sebelum menjemput abang dan kakak di sekolah jam 1 nanti . Petang ini supplier oven janji datang untuk mengganti lampu oven yang terpadam tiba-tiba ..




Wednesday, April 29, 2015

MAHU AKTIF BERBLOG SEMULA

29.04.15

Wah! sudah makan tahun rupanya tidak menjengah blog ini.
Terasa mahu aktif berblog semula . Mahu merakamkan hari-hari yang meninggalkan kesan dalam kehidupan seharian saya dan merakamkan idea-idea yang melintas dalam fikiran . 

Hari ini cuaca cerah selepas hujan lebat petang semalam . Tiada rasa mahu ke ofis . Hari ini hanya bekerja dari rumah . Jika di rumah , saya uruskan perniagaan  berselang - seli dengan kerja kerja rutin seorang surirumah sepenuh masa. Beginilah tanpa pembantu . Perlu uruskan masa sebaiknya.

Awal pagi , setelah kakak Hanna dan abang mamat ke sekolah dan suami ke tempat kerja , saya gunakan sejam dua untuk menguruskan rumput-rumput di halaman yang mula meliar sementara zikry , anak kecil yang berusia 6 tahun belum bangun dari tidurnya .  Sempat juga mengalih pokok ros ke dalam pasu yang lebih besar . Moga ros dari Cameron Highland ni mampu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di tanah rendah.

tiba-tiba di sergah dari belakang , " mak ! kenapa tak tunggu adik bangun ? adik nak tolong mak kan ! " 

opps !!